Sabtu, 3 September 2016

ku berjumpa ramadhan lagi

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

Assalamu’alaykum,

Khusus untuk para pengunjung blog Sayang Islam,

Moga Ramadan tahun 1437H  menambah indahnya Islam pada amalan zahir dan meningkatnya Iman di dada kita!

Ya Allah, bantui kami untuk menjadi hambaMu yang bertambah baik, ya Rabb… Amin.

moon-dua
Saya merancang, Allah jua merancang.

Kira-kira sebulan sebelum Ramadan, saya merancang untuk memanfaatkan Ramadan tahun ini bagi menyiapkan sebuah buku yang sudah lama tertangguh.  Bertahun-tahun manuskrip itu ditulis sedikit demi sedikit, namun dorongan untuk menyiapkannya tidak begitu ‘cukup petrol’ sehingga ada faktor mendatang berpunca dari soalan-soalan anak gadis sunti yang kian membesar.  Tulisan tentang besarnya barakah Ramadan kepada penulis seperti saya pernah disiarkan di sini.  Itu catatan Ramadan 1433H.

Namun, Allah swt mahu saya menulis sesuatu yang lain – yang saya percaya pada pengetahuan Allah swt ia lebih baik untuk didahulukan – pelawaan menulis tentang srikandi-srikandi muslimah di Negeri Cik Siti Wan Kembang dari seorang sahabat diterima dengan dada terbuka.  Alhamdulillah, saya gembira kerana diberi kepercayaan menulis tentangnya apatah lagi, ia mengandungi objektif-objektif yang mulia dan sangat berguna untuk dipaparkan dalam konteks perjuangan Islam dalam waqie’ (situasi) Malaysia.  Dateline  buku diterbitkan ialah pada bulan Ogos 2016.  Ia satu tempoh masa yang tidak begitu panjang sebenarnya🙂.  Namun, saya bersama ‘team’ tetap optimis dan memohon kepada Allah swt supaya dipermudahkan segala urusan, in syaa Allah.

Bertemu Ramadan, Satu Tuah
Dalam mengharungi hidup, kita tidak terlepas dari melakukan sama ada amal-amal baik atau amal-amal tidak baik – mungkin secara sedar atau tanpa disedari, tersalah, melakukan kerana jahil, tidak sengaja atau disebabkan terlupa.  Di atas amal baik yang berjaya dilakukan, kita mengucapkan syukur kepada Allah swt  yang memberi ilmu, faham dan kekuatan untuk beramal.  Di atas segala kekurangan atau amal yang cacat dan segala dosa, kita merasa sangat memerlukan maghfirah (keampunan) dari Pemilik diri kita.
Allah swt memahami keperluan setiap hambaNya untuk menampung amal ibadah yang kurang serta mendapat bonus pahala berganda, juga mendapat peluang besar menebus dosa, maka dianugerahkan dengan penuh kasih sayangNya satu bulan khusus dipenuhi rahmat, barakah dan maghfirah dalam setahun iaitu Ramadan.  Justeru itu, setiap mukmin menunggu Ramadan bagai menanti kekasih yang sentiasa dirindui.  Monolog Ramadan 1430H pernah saya nukilkan di sini.

Ramadan Pertama di Blog sayangislam.com
Mengambil kesempatan menyambut Ramadan 1430H di awal perjalanan berblog, tidak lupa ucapan selamat dihidangkan buat para pembaca di sini.  Saya mengulangi ucapan yang sama untuk semua tetamu pembaca hari ini ya!🙂.

Ramadan: Bulan Bermaafan.
Saya sama seperti ramai muslim yang lain, merasa teruja setiap kali menjelang Ramadan… teruja untuk menambah amal, memohon ampun serta mengambil peluang memohon maaf sesama insan.
Dalam berkata, ada yang terasa…
dalam bertindak ada hati berdetak…
dalam menulis ada hati yang terguris …
Maka di ambang Ramadan 1432H, huluran kalam memohon kemaafan disiarkan di sini.  Apatah lagi ia merupakan tahun ke 4 berblog, maka adatnya, kian banyak menulis, bertambah banyak kesalahan yang tertera secara tidak sengaja.  Saya tetap memaksudkan hal yang sama pada hari ini ya! Alhamdulillah, tahun ini tahun ke 9 blog sayangislam.com setia bersama pembaca walau saya kurang aktif menulis akhir-akhir ini.  Mohon maaf zahir batin dari semua yang mengenali sama ada secara offline atau online.
Kata-Kata-Selamat-Menyambut-Bulan-Suci-Ramadhan
Ramadan:  Merentasi Benua
Pengalaman menyambut Ramadan di beberapa buah negara begitu memberi makna – saya tidak melepaskan peluang membuat catatan mengenainya untuk dipaparkan dalam siri Travelog Iman, Majalah Era Muslimah semasa bermastautin di Melbourne, Australia.

Ramadan 1437H :  Adakah ini Ramadan terakhir untuk ku…?
Saya tidak harap begitu.  Ya Allah, kurniakan kepada kami nikmat Ramadan seterusnya supaya kami dapat menggapai ibadah secara optimum dan mendapat keampunan berganda secara berterusan dariMu.  Aamiiin ya Rabb.
Namun demikian, jangkaan kemungkinan kita tidak lagi bertemu Ramadan seterusnya akan menjadi motivator terbaik untuk bersungguh-sungguh mengisi Ramadan tahun ini dengan sebanyak-banyak amal serta bertaubat nasuha dari segala noda, dengan izin Allah swt jua.
selamat berpuasa
Wassalamu’alaikum warahmatullah.

Ummu Abbas
4 Ramadan 1437H
9 Jun 2016
10.55am
Negeri Cik Siti Wan Kembang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan