Jumaat, 30 November 2012

Penilaian Semula Sistem Ejaan Jawi

Secara amnya, didapati penggunaan sistem ejaan dan tulisan besar pengaruhnya. Dalam kajian Akhbar Utusan Melayu yang dibuat sistem ejaan banyak menggunakan ejaan tradisi, ejaan lazim dan ejaan mengikut hukum. Ejaan tradisi paling ketara digunakan dan ejaan mengikut hukum dan kata serapan Inggeris sedikit digunakan. Ini berkemungkinan Usaha dalam mengembang dan mempertingkatkan semula pendidikan tulisan Jawi dan penggunaannya di dalam media cetak mahupun media massa seharusnya disegerakan agar tidak akan terus pupus disebabkan oleh tangan orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku kerana majoriti daripada generasi muda kini tidak dapat menguasai pendidikan tulisan Jawi apatah lagi mahu menulis dan membaca Jawi kerana sebahagian daripada mereka ‘buta’ dalam pembacaan tulisan Jawi. 

Kelemahan ini amat menghantui masyarakat Melayu yang amat menyayangi sistem tulisan Jawi ini. Justeru itu, tanggungjawab memelihara tulisan Jawi bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak kerajaan sahaja, tetapi komitmen semua pihak untuk memelihara tulisan Jawi sebagai suatu warisan milik bersama mesti dilaksanakan secara kerjasama dan kesungguhan yang hakiki.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam aktiviti pembudayaan dan menghargai pendidikan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat ialah usaha awal kerajaan menghidupkan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan yang mula menemui para pengguna pada setiap Isnin mulai 01 Mei 2006 dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan (KekWa), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, dan Kementerian Penerangan. Malahan, Kabinet juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM11 juta kepada KekWa bagi memartabatkan tulisan Jawi di Negara ini.

Selain itu, usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran pula dalam mempertingkatkan pendidikan tulisan Jawi ialah dengan menggalakkan sekolah-sekolah supaya menggunakan apa-apa sahaja bahan cetakan bertulisan Jawi termasuk akhbar Utusan Melayu untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran dalam kelas. Dalam hal ini, misalnya Jabatan Pelajaran Terengganu telah meminta semua sekolah di negeri itu melanggan akhbar Utusan Melayu untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran Jawi di samping sebagai bahan bacaan tambahan kepada murid. Ini selaras dengan pelaksanaan program j-QAF, yang memberi penekanan kepada bidang penulisan dan pemahaman Jawi untuk murid sekolah termasuk penghasilan buku teks Pendidikan Islam dalam tulisan Jawi, kertas peperiksaan peringkat Peperiksaan Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tulisan Jawi. Kesungguhan dalam memperkayakan pendidikan tulisan Jawi dan menaikkan maruahnya, peruntukan lebihan masa kepada Pendidikan Islam di sekolah turut dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran bilamana pihak kementerian telah bersetuju memperuntukkan satu daripada enam masa seminggu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dikhaskan untuk pembelajaran Jawi. Dengan masa tambahan yang diberikan itu membolehkan pendidikan tulisan Jawi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah dan guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.
Pihak Kementerian Pelajaran juga telah mengambil inisiatif penting untuk kepentingan guru dan murid dengan menggunakan ejaan baharu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul jika terdapat tenaga pengajar yang masih menggunakan sistem tulisan Jawi lama. 

Sejarah Tulisan Jawi


Latar Belakang Ringkas Sistem Tulisan Jawi


Pada masa dahulu hingga kini, penggunaan tulisan Jawi masih digunakan kerana ianya amat berkait rapat dengan agama Islam. Kemunculan sistem Tulisan Jawi banyak berhubungkait dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Sebenarnya tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan mengandungi huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu.

Sejak kebelakangan ini, penggunaan tulisan Jawi di dada-dada akhbar mahupun penggunaan di papan iklan, papan tanda nama jalan, bangunan, dan sebagainya mendapat pengiktirafan dan sokongan padu oleh kerajaan untuk digunakan secara meluas.Begitu juga penggunaannya di peringkat pengajian di universiti dan pendidikan di sekolah, sistem Tulisan Jawi telah dijadikan salah satu mata pelajaran wajib yang mesti dipelajari oleh golongan pelajar di Malaysia.

Meskipun penggunaan tulisan Jawi telah bermula sejak 700 tahun yang lalu, ia belum banyak diselidiki dari segi perkembangan dan sistem tulisannya. Jika dilihat dari segi sejarah perkembangannya, terdapat dua pengaruh sistem ejaan yang digunakan iaitu pengaruh Arab dan Melayu. Secara amnya, pengaruh Arab dalam bentuk ejaan tulisan Jawi dipengaruhi dengan penggunaan tanda-tanda baris; manakala pengaruh ejaan Melayu pula, wujudnya huruf-huruf vokal sebagai menggantikan penggunaan tanda-tanda baris.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tulisan Jawi merupakan satu aspek yang penting dalam mengekalkan imej dan identiti budaya Melayu masa kini. Bersesuaian dengan penggunaan tulisan Jawi dalam segala urusan dan pernah menjadi tulisan antarabangsa seperti mana bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca sebagaimana menerusi catatan pengembara Barat ke Nusantara seperti Magellan, Tom Pires, dan Van Ronkel, menjelaskan bahawa bahasa Melayu dan tulisan Jawi diiktiraf sebagai bahasa perhubungan utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara.

Kelahiran Sistem Tulisan Jawi yang berasal dari tulisan dan pengaruh Arab terbukti sejarah kewujudannya dalam tamadun Melayu melalui beberapa sumber khazanah dan bahan-bahan bertulis yang ditemui seperti; dari batu bersurat, manuskrip lama, kertas lama, majalah, batu nisan, bahan-bahan yang dibuat daripada logam, kulit, alat senjata, duit syiling, batu lontar, tembikar, ukiran-ukiran pada masjid, istana, termasuk sumber penemuan pada azimat dan tangkal.

Sebagai contohnya, penemuan pertama pada batu nisan Syeikh Nuruddin Al-Raniri di Barus, Sumatera Utara yang tercatat dalam bahasa Arab bertarikh 48 Hijrah, diikuti pula batu nisan seorang puteri raja di Pekan, Pahang Darul Makmur pada 419 Hijrah, kemudiannya batu nisan Syeikh Abdul Qadir Ibn Husin Syah Alam di Langgar, Kedah bertarikh 290 Hijrah, dan batu nisan Fatimah binti Maymun bin Hibatullah yang dijumpai di Leram, Grisek, Jawa Timur tanggal 475 Hijrah bersamaan 1082 Masihi; yang menunjukkan tulisan Jawi berasal dari orang Arab yang kemudian telah diubahsuai dengan menambahkan beberapa huruf Arab yang disesuaikan dengan gaya bahasa orang Melayu dalam usaha membuktikan kewujudan tulisan Jawi dalam tamadun Melayu setelah penemuan prasasti di Kuala Berang, Terengganu pada 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi. Namun begitu, persoalan yang mungkin tidak dapat dihuraikan dan mendapat kepastian hingga kini ialah siapakah pencipta sebenar bagi tulisan Jawi yang ada sekarang walaupun aksara tulisan Jawi banyak menggunakan huruf-huruf Arab.

Oleh yang demikian dalam penghasilan perkataan Jawi, sebenarnya ia berkait rapat dengan sistem ejaannya. Terdapat tiga jenis pembentukan ejaan yang lazim digunakan iaitu ejaan tradisi, ejaan lazim, dan ejaan mengikut hukum :

a) Ejaan Tradisi
Dalam pembentukan ejaan ini, penggunaan kaedah baris digunakan, dan ada ketikanya ianya digugurkan. Ini tidak menjejaskan sistem ejaan tersebut. Contoh perkataan seperti tiada ( تئاد ), pada ( قد ), dan kepada ( كقد ).

b) Ejaan Lazim
Ejaan ini lazimnya digunakan bagi mengeja perkataan sukukata terbuka atau sukukata tertutup sama ada bunyi sukukata itu ke atas, ke bawah, atau ke depan. Antara contoh perkataannya seperti lada ( لادا ), pasu (قاسو ), suka ( سوك ), barang ( بارغ ), bulan ( بولن ), nangka ( نغك ), dan bantal ( بنتل ).

C) Ejaan Mengikut Hukum
Dalam sistem ejaan Jawi mengikut hukum, terdapat beberapa hukum mengeja seperti hukum darling, hukum di luar darling, hukum ka-ga, hukum ra-ma, hukum ha-aha dan lampau hukum.