Jumaat, 30 November 2012

Penilaian Semula Sistem Ejaan Jawi

Secara amnya, didapati penggunaan sistem ejaan dan tulisan besar pengaruhnya. Dalam kajian Akhbar Utusan Melayu yang dibuat sistem ejaan banyak menggunakan ejaan tradisi, ejaan lazim dan ejaan mengikut hukum. Ejaan tradisi paling ketara digunakan dan ejaan mengikut hukum dan kata serapan Inggeris sedikit digunakan. Ini berkemungkinan Usaha dalam mengembang dan mempertingkatkan semula pendidikan tulisan Jawi dan penggunaannya di dalam media cetak mahupun media massa seharusnya disegerakan agar tidak akan terus pupus disebabkan oleh tangan orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku kerana majoriti daripada generasi muda kini tidak dapat menguasai pendidikan tulisan Jawi apatah lagi mahu menulis dan membaca Jawi kerana sebahagian daripada mereka ‘buta’ dalam pembacaan tulisan Jawi. 

Kelemahan ini amat menghantui masyarakat Melayu yang amat menyayangi sistem tulisan Jawi ini. Justeru itu, tanggungjawab memelihara tulisan Jawi bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak kerajaan sahaja, tetapi komitmen semua pihak untuk memelihara tulisan Jawi sebagai suatu warisan milik bersama mesti dilaksanakan secara kerjasama dan kesungguhan yang hakiki.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam aktiviti pembudayaan dan menghargai pendidikan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat ialah usaha awal kerajaan menghidupkan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan yang mula menemui para pengguna pada setiap Isnin mulai 01 Mei 2006 dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan (KekWa), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, dan Kementerian Penerangan. Malahan, Kabinet juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM11 juta kepada KekWa bagi memartabatkan tulisan Jawi di Negara ini.

Selain itu, usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran pula dalam mempertingkatkan pendidikan tulisan Jawi ialah dengan menggalakkan sekolah-sekolah supaya menggunakan apa-apa sahaja bahan cetakan bertulisan Jawi termasuk akhbar Utusan Melayu untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran dalam kelas. Dalam hal ini, misalnya Jabatan Pelajaran Terengganu telah meminta semua sekolah di negeri itu melanggan akhbar Utusan Melayu untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran Jawi di samping sebagai bahan bacaan tambahan kepada murid. Ini selaras dengan pelaksanaan program j-QAF, yang memberi penekanan kepada bidang penulisan dan pemahaman Jawi untuk murid sekolah termasuk penghasilan buku teks Pendidikan Islam dalam tulisan Jawi, kertas peperiksaan peringkat Peperiksaan Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tulisan Jawi. Kesungguhan dalam memperkayakan pendidikan tulisan Jawi dan menaikkan maruahnya, peruntukan lebihan masa kepada Pendidikan Islam di sekolah turut dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran bilamana pihak kementerian telah bersetuju memperuntukkan satu daripada enam masa seminggu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dikhaskan untuk pembelajaran Jawi. Dengan masa tambahan yang diberikan itu membolehkan pendidikan tulisan Jawi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah dan guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.
Pihak Kementerian Pelajaran juga telah mengambil inisiatif penting untuk kepentingan guru dan murid dengan menggunakan ejaan baharu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul jika terdapat tenaga pengajar yang masih menggunakan sistem tulisan Jawi lama. 

3 ulasan: